KISAH VIRAL MAHASISWA YANG WAFAT DALAM TRAGEDI NAHAS BAS UPSI
![]() |
Photo by Khairul Anuar Ismail |
KISAH VIRAL MAHASISWA YANG WAFAT DALAM TRAGEDI NAHAS BAS UPSI
- IPOH--NEGERI PERAK: Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam nahas jalan raya di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, awal pagi Isnin (9 June 2025), boleh dikategorikan sebagai syahid akhirat.
- Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, status tersebut merujuk kepada pandangan para ulama yang menyatakan bahawa kematian seseorang dalam perjalanan menuntut ilmu dan bukan berpunca daripada kecuaian sendiri, dikira sebagai mati syahid akhirat.
- Menurutnya, terdapat berbagai pandangan dalam kalangan ulama berhubung kematian akibat kemalangan jalan raya. Namun ia bergantung kepada faktor punca kejadian sama ada disebabkan kecuaian sendiri atau sebaliknya.
- “Ulama berpendapat bahawa kematian seorang penuntut ilmu yang terlibat dalam kemalangan jalan raya, yang bukan berpunca daripada kecuaiannya dan berada dalam perjalanan untuk tujuan menuntut ilmu, boleh dikiaskan sebagai mati syahid akhirat.
- “Ini sebagaimana orang yang meninggal dunia akibat tertimbus bangunan atau lemas. Dalam kes tragedi kemalangan membabitkan pelajar UPSI ini, mereka termasuk dalam kategori meninggal yang bukan disebabkan kecuaian sendiri,” katanya kepada Sinar Harian, pada Isnin.
- Dalam pada itu, Datuk Zamri Hashim turut menggesa agensi berkaitan yang menguruskan prasarana jalan, keselamatan kenderaan, etika pemanduan serta langkah-langkah perlindungan penumpang agar menyemak semula prosedur dan peraturan sedia ada sebagai ikhtiar mengekang kejadian serupa daripada berulang. Katanya, kejadian menyayat hati itu berlaku hanya beberapa hari selepas nahas membabitkan anggota Polis Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), sekali gus menimbulkan keperluan agar aspek keselamatan jalan raya diberi perhatian serius. -Sinar Harian
![]() |
Pelajar UPSI yang terkorban dalam nahas jalan raya di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, awal pagi Isnin (9 June 2025) boleh dikategorikan sebagai syahid akhirat. |
"Menghafaz Al-Qur'an Hingga Hujung Nyawa: Nurly Shahirah dan Mushaf Tulisan Tangannya"
Dalam tragedi nahas bas UPSI-University Sultan Idris-Negeri Perak Darul Ridzwan, yang meragut 15 nyawa mahasiswa, satu nama terus hidup dalam ingatan ramai, Allahyarhamah Nurly Shahirah binti Azman.
Seorang anak muda yang bukan sekadar pelajar, tetapi seorang hafizah yang telah menghafaz 30 juzuk al-Qur'an.
Menulis al-Qur'an bukan perkara biasa. Ia bukan tugasan yang diminta, tetapi pilihan yang dibuat. Setiap huruf ditulis perlahan, disemak, diulang.
Setiap baris adalah usaha mengukuhkan ingatan dan mencantumkan hati dengan wahyu. Dalam dunia yang serba laju dan moden, "Tahriri" adalah bentuk ibadah yang sangat perlahan tetapi penuh makna.
Ini bukan pencapaian biasa. Ini adalah bentuk cinta terhadap al-Qur'an yang sangat luar biasa.
Ada saksi yang menyebut bau harum di tempat kejadian. Media pula berulang kali menghubungi ahli keluarganya bertanyakan apakah amalan arwah.
Jawapannya ringkas, “Dia tak pernah tinggal ulang hafalan. Hari-hari ada al-Qur’an di tangannya.” Jawapan itu pun sudah cukup membuat hati kita bergetar.
Dalam diam, dia mengumpul pahala yang mungkin ramai tak perasan. Tidak viral ketika hidup. Tetapi kisahnya menjadi perhatian saat dia telah wafat.
Dan pemergiannya ini menyedarkan kita, bahawa hidup bersama al-Qur'an akan sentiasa memberikan bekas pada diri, pada jiwa, dan pada insan yang tinggal.
Bayangkan. Beliau pergi dalam perjalanan ilmu, dalam keadaan menjaga hafalan, dan dikhabarkan ada mushaf tulisan tangan bersamanya.
Dan menurut gurunya, beliau sering minta diuji hafalan secara rawak. Tidak pernah tinggal murajaah. Tidak hairanlah dia diambil dalam keadaan yang sangat indah.
Hari ini, ramai terinspirasi dengan kisahnya. Gambar mushaf tulisan tangan itu menjadi viral, bukan kerana cantik semata, tetapi kerana ia hidup.
Ia ada roh seorang pejuang yang memelihara kalam Allah Azza Wa Jalla dengan seluruh jiwa dan raga.
Semoga kita semua ambil semangat ini. Mungkin kita tidak mampu tulis satu mushaf, tapi kita masih mampu buka kembali helaian yang sudah lama ditinggalkan.
Masih ada masa untuk kembali menyentuh al-Qur’an bukan sekadar dengan jari, tetapi dengan hati.
إنا لله وإنا إليه راجعون الَّلهُمَّ اغْفِرْ لَهَا وَارْحَمهَا وَعَافِهَا وَاعْفُ عَنْهَا وأَكْرِمْ نُزُوْلَهَا وَوَسِّعْ مَدْخَلَهَا وَاغْسِلْهَا بِمَاءٍ وثَلْجٍ وَبَرَدٍ وَنَقِّهَا مِنَ اْلخَطَايَا كَمَا يُنَقَى الثَوْبُ اْلأَبْيَضُ مِنَ الدَّنَسِ وأَبْدِلْهَا دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهَا وأََهْلًا خَيْراً مِنْ أَهْلِهَا وَزَوْجًا خَيْراً مِنْ زَوْجِهَا وَقِهِهَا فِتْنَةَ القَبْرِ وَعَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: Sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nya kami kembali. Ya Allah, ampunilah dia, rahmatilah dia, sejahterakanlah keadaannya dan maafkanlah dia, dan seterusnya.
Doa ini diajar oleh Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasalam ketika menerima berita kematian, sebagai ungkapan redha dan doa buat marhum. Semoga Allah Subhanahu Wa Ta'ala mengampuni dan merahmati mereka yang telah berpulang ke rahmatullah.
Al-Fatihah buat adik Nurly Shahirah dan semua mangsa yang terkorban dalam tragedi ini. Semoga mereka dihimpunkan bersama para solihin dan dijadikan ahli syurga yang diredhai.
Dan buat kita yang masih diberi nyawa, Ayuh kembali hidupkan hubungan dengan al-Qur'an. Biar sedikit, tetapi konsisten. Biar lambat, Tetapi istiqamah.
Akhirnya, kita tak tahu dengan amalan apa kita akan pergi. Tetapi Nurly Shahirah telah memberi jawaban. Dia pergi dengan al-Qur’an di dada dan di tangannya.InsyaAllah💖Aamiin Allahumma Aamiin🤲🤲🤲
[Rabu, 11 June 2025 M // 15 Zulhijjah 1446 H]
Kredit gambar dan status: Saudara Najmuddin Azman dan gurunya
--Via Khairul Anuar Ismail/Facebook.
Editor: Helmy El-Syamza
Follow me at;⭐
twitter.com/romymantovani
facebook.com/helmyzainuddin
pinterest.com/hsyamz
VIDEO:
No comments
Post a Comment